Thursday, August 12, 2010

Dehidrasi - Gejala, Rawatan dan Pencegahan

Tubuh manusia memerlukan air untuk mengekalkan darah dan cecair-cecair lain secukupnya bagi membolehkannya berfungsi dengan sempurna. Di samping cecair badan, tubuh juga memerlukan bahan elektrolit, yang terdiri daripada garam yang lazimnya terdapat di dalam darah, cecair tubuh yang lain dan sel-sel. Dehidrasi merupakan kehilangan air dan garam daripada badan. Dalam bahasa Malaysia secara umumnya, ia boleh dimaksudkan sebagai kekontangan. Badan kita boleh kehilangan cecair melalui pelbagai cara. Antaranya ialah:

    * Ketika membuang air kecil.
    * Semasa muntah atau mengalami cirit-birit.
    * Ketika berpeluh.
    * Melalui paru-paru semasa bernafas.

Jika badan kehilangan sejumlah besar cecair dan garam dan tidak digantikan dengan segera seperti meminum air, badan akan kekeringan atau kekontangan. Walaupun sesiapa sahaja boleh mengalami dehidrasi, golongan yang paling mudah mengalami masalah ini ialah:

    * Bayi yang berumur di bawah 1 tahun.
    * Warga tua.
    * Mereka yang mengalami demam.
    * Penduduk yang tinggal di kawasan beriklim panas.

Semasa mengalami cirit-birit, kehilangan air dan elektrolit (Natrium klorida, Potasium dan Bikarbonat) dalam najis yang cair akan meningkat. Air dan elektrolit juga akan hilang melalui peluh, muntah, air kencing dan pernafasan. Dehidrasi berlaku apabila kehilangan ini tidak diganti secukupnya dan kekurangan air serta elektrolit terjadi. Dehidrasi yang teruk boleh membawa maut. 

Apakah Gejala Dehidrasi?
  • Muka menjadi merah    
  • Tekanan darah rendah
  • Teramat dahaga     
  • Pengsan
  • Kulit menjadi kering dan panas     
  • Pengecutan otot yang teruk di bahagian kaki, lengan, perut dan belakang badan.
  • Tidak dapat membuang air kecil atau jumlah air kencing berkurangan dan berwarna kuning pekat     Sawan
  • Pening, lemah, sakit kepala     Mata cengkung dan kering
  • Mulut dan lidah kering dengan air liur yang pekat     
  • Kulit hilang keanjalannya dan kelihatan berkedut.
  • Kekejangan di kaki dan lengan     
  • Penafasan menjadi cepat dan dalam
  • Sedikit atau tiada air mata ketika menangis      
Bagaimana dehidrasi dirawat? 
Garis panduan untuk cirit-birit di kalangan kanak-kanak:

    * Untuk cirit-birit tanpa dehidrasi, berikan kanak-kanak makanan seperti biasa dan berikan cecair rehidrasi tambahan dalam masa 4-6 jam selepas berlaku cirit-birit.
    * Untuk cirit-birit dengan dehidrasi yang ringan, bawa anak anda berjumpa doktor. Kanak-kanak perlu diberi cecair rehidrasi oral (melalui mulut) di bilik rawatan dan meneruskan memberi makanan dan cecair rehidrasi di rumah.
    * Untuk kes cirit-birit yang sederhana atau teruk, kanak-kanak perlu dirawat di klinik atau hospital. Dehidrasi yang sederhana boleh dirawat secara oral (seperti memberi cecair rehidrasi melalui mulut). Tetapi dehidrasi yang teruk memerlukan gantian cecair melalui intravena atau salur darah. Memberi ubat anti cirit-birit bukanlah rawatan yang terbaik untuk kanak-kanak.

Makanan boleh membantu usus menyerap lebih banyak air dan ini akan membantu memperlahankan cirit-birit. Makanan seimbang yang tinggi kalori adalah disyorkan. Produk atau hasil susu yang sukar dihadam boleh bertahan untuk selama 24-48 jam ketika berlakunya serangan cirit-birit. Bagaimanapun, bayi yang menyusu dengan susu botol hendaklah diteruskan penyusuan dengan susu yang dibancuh separuh pekat dari biasa. Manakala bayi yang sedang menyusu dengan susu badan diteruskan seperti biasa. Jika anda mengalami dehidrasi yang ringan, anda perlulah meminum cecair yang mencukupi untuk menggantikan cecair yang telah hilang. Anda juga perlu menggantikan kehilangan elektrolit (garam) yang berlaku. Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh dibeli dari kedai farmasi bagi menambahkan cecair dan elektrolit (garam). Anda juga boleh meminum minuman sukan (isotonik) atau mengambil larutan garam rehidrasi oral (ORS) dengan segera untuk menggantikan kehilangan tersebut. Jangan menunggu sehingga dehidrasi menjadi teruk. Formula larutan garam rehidrasi (ORS) yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF mengandungi:
Natrium klorida BP     -     526mg           larutkan di dalam 250ml air masak yang sejuk dan kemudiannya diminum.
                 
Trisodium klorida BP     -     490mg    
                 
Potasium klorida BP     -     373mg          
                       
Glukosa anhidros BP     -     5.4gm          
                       
Apakah makanan yang baik yang boleh diambil ketika cirit-birit?

    * Makanan yang tinggi tenaga seperti lemak, dadih dan bijirin adalah mudah diserap ketika cirit-birit.
    * Buah-buahan yang tinggi kandungan potasiumnya adalah baik untuk dimakan bagi mengembalikan semula keperluan bekalan yang berkurangan ketika cirit-birit. Buah-buahan tersebut ialah seperti pisang, mangga, nenas dan buah-buahan jenis oren.
    * Sesetengah makanan perlu dielakkan ketika mengalami cirit-birit seperti makanan yang mengandungi banyak serat iaitu buah-buahan yang banyak serabut dan sayur-sayuran, bijirin tulen dan makanan pedas atau berempah.

Ibu-ibu perlu mengetahui:

    * Untuk bertindak segera apabila berlakunya cirit-birit dengan memberi lebih banyak minuman yang bersesuaian.
    * Mengenali tanda-tanda dehidrasi yang perlu diberi larutan garam rehidrasi (ORS) atau penjagaan khas.

Jika ORS diberi lebih awal di rumah, kejadian dehidrasi biasanya boleh dicegah dan ramai kanak-kanak dapat diselamatkan dari menjadi lebih teruk sehingga mereka terpaksa dibawa berjumpa doktor untuk dirawat. Minuman yang boleh disediakan di rumah untuk mencegah dehidrasi:

    * Terutamanya sesuatu yang telah dimasak seperti air nasi atau sup lobak merah. Seboleh-bolehnya minuman ini hendaklah mengandungi kanji dan/atau gula sebagai sumber glukosa dan tenaga, sedikit Natrium dan kalau boleh sedikit Potasium.
    * Larutan garam/gula yang ringkas juga sesuai sebagai rawatan rehidrasi yang awal.
      Cara menyediakannya ialah dengan melarutkan campuran 1 sudu teh (5ml) rata garam bersama-sama 8 sudu teh rata gula dalam 1 liter air masak. Jangan masukkan terlalu banyak garam kerana ia boleh menyebabkan sawan.

Pencegahan

    * Perkara penting yang perlu dilakukan ialah sentiasa menggantikan semula cecair dan garam dalam badan yang hilang. Anda perlu minum setiap kali anda membuang air besar yang cair. Anda perlu memaksa diri anda meminum cecair sebelum terjadinya dehidrasi. Jika anda bersama seseorang yang anda fikir sedang mengalami dehidrasi, ikuti garis panduan ini bila perlu:
    * Berikan lebih banyak cecair dari biasa.
    * Ingat bahawa orang yang mengalami dehidrasi tidak mempunyai selera makan yang baik. Galakkannya mengambil sedikit makanan dan minuman 5-7 kali dalam sehari.
    * Awasi tanda-tanda dehidrasi yang lebih teruk dan dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

 

0 comments: