Sunday, July 4, 2010

Demam Sawan - Simptom, Gejala, Rawatan, Pencegahan

2 -5% kanak-kanak boleh menghidap sawan deman dan lazimnya ini adalah sawan yang biasa.

Insiden
  • Sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 6 tahun dan khususnya anak kecil yang baru bertatih (toddler).
  • Lebih kurang 1 daripada 25 kanak-kanak akan mengalami sawan demam sekurang-kurangnya sekali.
  • Sawan demam jarang terjadi kepada kanak-kanak yang berumur < 6 bulan atau melebihi umur 3 tahun.
  • Jika sawan demam ini berlaku di kalangan kanak-kanak yang lebih tua, risiko untuk mendapat sawan demam yang berulang-ulang adalah lebih rendah.
Diagnosa
Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dikalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Diagnosa sawan demam hanya boleh dibuat selepas mengecualikan sebab-sebab lain selain dari demam sahaja.

Tanda-tanda dan gejala
  • Anak akan tidak sedar diri dan menyentak kedua-dua kaki dan tangan.
  • Kadang-kadang anak mungkin boleh menjadi kejang atau menyentak satu atau lebih bahagian badan, seperti satu tangan atau satu kaki. Kekejangan boleh berlaku pada satu bahagian badan sahaja.
  • Sawan demam jarang melebihi satu atau dua minit. Dalam kes dimana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan.
  • Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
  • Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5C
  • Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau "sawan babi" adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
  • Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam
Faktor-faktor risiko untuk sawan demam berulang
  • Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.
  • Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal.
  • Sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga terdekat (ibubapa dan adik-beradik)
  • Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) di kalangan ahli keluarga terdekat.
  • Sawan demam yang berlarutan (melebihi 30 minit) tidak meningkatkan risiko sawan demam berulang.
Kesan jangkamasa panjang sawan demam
  • Majoriti besar sawan demam adalah tidak membahayakan.
  • Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak.
  • Ada kajian mendapati kanak-kanak dengan sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan dapat menjalani ujian kecerdasan dengan baik seperti adik-beradik lain (yang tidak mengalami sawan demam).
  • Terdapat juga kes yang jarang berlaku - iaitu sawan yang sangat lama (lebih dari satu jam) - didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya. Kira-kira 3% daripada kanak-kanak mengalami sawan demam akan mendapat epilepsi. Ini termasuk kanak-kanak dengan:
    • Sawan demam yang panjang, melibatkan satu bahagian badan sahaja atau berulang dalam masa 24 jam.
    • Perkembangan yang lambat.
    • Ahli keluarga lain yang mengidap epilepsi.
    • Kanak-kanak tanpa sebarang risiko hanya mempunyai 1% peluang untuk mendapat epilepsi selepas sawan demam (risiko yang sama seperti orang lain).
Rawatan
Mengambil langkah-langkah kecemasan.

Mengawal sawan
  • Majoriti kanak-kanak tidak memerlukan ubatan.
  • Jika sawan berpanjangan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi.
  • Kemasukan ke hospital
  • Tidak semua kanak-kanak dengan sawan demam perlu di masukkan ke hospital. Walaubagaimanapun, kemasukkan ke hospital mungkin perlu jika:
    • Takut sawan akan berulang
    • Untuk memastikan tiada jangkitan di otak atau lain-lain penyakit.
    • Untuk mencari dan merawat penyebab demam selain jangkitan otak.
    • Untuk mengurangkan kebimbangan ibubapa.
    • Ujian makmal tidak diperlukan untuk mendiagnosakan sawan demam. Walaubagaimanapun, doktor mungkin membuat beberapa ujian untuk mencari penyebab demam dan apabila dijangka ada jangkitan di otak, tebukan spinal (lumbar puncture) mungkin perlu dijalankan.
Mencegah demam sawan
  • Mengawal demam
  • Beri ubat-ubatan seperti paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan demam.
  • Mandi berjelum seluruh badan dengan air paip (bukan air sejuk).
  • Beri anak anda minuman sejuk. Ini akan membantu menurunkan suhu badan dan mengekalkan hidrasi.
Pencegahan sawan dari berulang
  • Majoriti kanak-kanak tidak perlu ubatan untuk mengelakkan sawan.
  • Memberi ubat mengelakkan sawan (seperti Phenobarbital atau valproate) tidak digalakkan kerana tiada bukti ubatan ini boleh menghalang sawan demam dan pemberian ubatan ini boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan.




0 comments: